MAJLIS BERBUKA PUASA KECAS MERIAH

Majlis berbuka Puasa Kelab Catur Staf (KECAS) UTM 2007 telah diadakan pada 9 Oktober 2007, bertempat di Dewan Jamuan, UTM Skudai. Lebih 40 orang ahli KECAS dan ahli keluarga masing-masing telah hadir di majlis tersebut.
 
Majlis berkenaan telah dimulakan dengan tazkirah daripada Prof. Madya Dr. Omar bin Yaacob yang merupakan Bendahari KECAS UTM. Beliau dalam tazkirahnya telah menjelaskan kelebihan bulan Ramadhan. Bulan dimana Allah SWT memenuhkannya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, memakbulkan doa dan menunggu-nunggu mereka yang melakukan kebajikan.

Sampai waktu berbuka semua yang hadir telah bersama-sama berbuka dengan juadah yang telah disediakan berupa nasi tomato, roti jala, kuih muih dan sebagainya. Setelah selesai menjamu selera telah diadakan penyampaian cendermata dan sijil kepada semua petugas Kejohanan Catur Merdeka UTM 2007 dan penyampian hadiah penghargaan kepada Cik Azizah bte Yusof yang telah berjaya mendapat pingat perak ketika Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Ke-32 baru-baru ini. Cendermata dan sijil telah disampaikan oleh En. Azri bin Hohad, Pengerusi KECAS UTM.

Selesai penyampian cendermata dan sijil, semua ahli yang hadir telah bersama-sama bersembahayang maghrib berjemaah iaitu di Masjid Sultan Ismail bagi lelaki dan di surau sementara Dewan Jamuan bagi kaum wanita.

Majlis yang tidak seberapa ini sesungguhnya secara tidak langsung telah dapat memupuk ukhuwwah sesama ahli KECAS dan keluarga. Semoga silaturrahim akan tersimpul padu dan kemeriahan ini dapat diteruskan dalam aktiviti-aktiviti KECAS yang lain.