KEJOHANAN CATUR MERDEKA UTM 2006

Jumaat, 3 November 2006, dengan memperolehi 6.5 mata melayakkan Andran Yong Kim Chye muncul juara bagi kategori terbuka pada kejohanan Catur Merdeka Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2006 yang berlangsung di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor, UTM Skudai Johor pada 10 September 2006 lalu. Kejohanan selama sehari itu dianjurkan oleh Unit Sukan dan Kelab Catur Staf (KECAS) UTM. Selaku juara, beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM300, medal dan sijil penyertaan manakala Naib Juara jatuh kepada Salman Mastari, yang menerima RM 200, medal dan sijil dan tempat ketiga Leong Mun Wan turut menerima RM150 medal serta sijil.

Menurut Pengerusi Kelab Catur UTM merangkap Pengarah kejohanan, Azri Hohad, Kejohanan ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti yang dilancarkan pada 17 Ogos 2006 lalu. Seramai 170 peserta terdiri dari staf dan pelajar UTM, masyarakat sekitar serta pelajar sekolah diseluruh negara termasuk Singapura menyertai kejohanan ini.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Bawah 12 tahun, Bawah 18 tahun, Wanita dan Terbuka. Bagi kategori Bawah 12 tahun, Juara disandang oleh Ahmad Azfar Md. Zin, Naib Juara, Theebbanraj a/l B. Asokan dan ketiga Siti Aminah Nabilah. Manakala bagi kategori Bawah 18 tahun, juara milik N. Ranitha a/p Narayanan yang menewaskan Mohd Nawawi Mohamed Kedua dan Anand Raj a/l Asokan, Ketiga. Bagi wanita pula, gelaran juara turut menjadi milik N. Ranitha a/p Narayanan setelah menewaskan pencabar yang terdiri dari Siti Aminah Nabilah dan Wong Cher Hwan. Semua pemenang bagi kategori tersebut turut menerima hadiah wang tunai, medal serta sijil penyertaan.