MAJLIS BERBUKA PUASA 
KECAS 2008 MERIAH

25 September 2008, bertempat di Dewan Jamuan, UTM Skudai telah diadakan Majlis Berbuka Puasa Kelab Catur Staf (KECAS) UTM 2008. Majlis berkenaan telah berjalan dengan meriahnya dengan penyertaan lebih 40 orang ahli KECAS dan ahli keluarga masing-masing.

Majlis berkenaan telah dimulakan dengan tazkirah ramadhan daripada Ustaz Abdul Hafiz, penceramah jemputan kelahiran dari Algeria. Beliau dalam tazkirahnya telah memperkatakan tentang kelebihan-kelebihan dan perkara yang patut dilakukan di penghujung bulan ramadhan.

Sampai waktu berbuka, semua yang hadir telah bersama-sama berbuka dengan juadah yang telah disediakan berupa nasi tomato, makaroni goreng, rojak, hot dog roll, kuih muih, buah-buahan dan sebagainya. Menu utama berupa nasi tomato disediakan oleh pihak KECAS manakala juadah yang lain disediakan oleh ahli-ahli yang hadir secara port luck.

Setelah selesai menjamu selera semua yang hadir telah sama-sama menunaikan sembahayang maghrib berjemaah di surau sementara yang disediakan dalam dewan berkenaan.

Majlis kemudiannya telah diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi KECAS UTM, En. Azri bin Hohad, yang telah mengalu-alukan kehadiran semua ahli dan keluarga mereka ke majlis ini. Beliau juga telah menjelaskankan tujuan majlis berkenaan diadakan antaranya bagi membolehkan keluarga-keluarga ahli KECAS mengiratkan silaturrahim antara satu sama lain dan juga untuk mengimarahkan bulan ramadhan. Seterusnya telah diadakan sesi fotografi bagi setiap keluarga yang hadir. Juga sesi bergambar beramai-ramai bagi semua yang hadir. Majlis Berbuka Puasa KECAS 2008 ini berakhir pada pukul 8.00 malam.

Majlis yang tidak seberapa ini sesungguhnya secara tidak langsung telah dapat memupuk ukhuwwah sesama ahli KECAS dan keluarga. Semoga silaturrahim akan tersimpul padu dan kemeriahan ini dapat diteruskan dalam aktiviti-aktiviti KECAS yang lain.