Kecas Menganjurkan Klinik Catur
Bertempat di Dewan Seminar, Kolej Tuanku Canselor, UTM Skudai pada 6 September 2008 telah berlangsung Klinik Catur yang dihadiri oleh ahli-ahli Kelab Catur Staf (KECAS) UTM dan pencatur dari sekitar Johor Bahru. Klinik Catur ini yang terbuka untuk semua pencatur sama ada ahli KECAS dan masyarakat luar bertujuan sebagai satu medan untuk pencatur-pencatur bertemu sebulan sekali disamping berusaha bersama-sama untuk memperbaiki skil bermain catur.

Pengisian Klinik Catur ini pada awalnya, peserta sesama peserta telah bermain catur untuk memperlihatkan skil catur masing-masing. Slot kedua, En. Zulfakar Aspar yang merupakan Jurulatih KECAS UTM telah menyampaikan ceramah pertama berkaitan dengan Asas Bermain Catur. Beliau telah menjelaskan serba sedikit asas-sasa permainan dan strategi serta taktikal dalam permainan. Beliau juga telah menyentuh perkara yang jarang disentuh oleh penceramah lain iaitu faktor emosi dan jasmani dalam permainan.

Slot ketiga, En. Nozri bin Mokhtar yang merupakan bekas Pengerusi, Kelab Catur UiTM Shah Alam (1986 – 1989) telah berkongsi pengalaman bermain catur, bagaimana bermain catur yang betul dalam pertandingan dan juga bagaimana untuk mencapai kemenangan.

Menurut En. Azri bin Hohad, Pengerusi Kelab Catur Staf (KECAS) UTM, Klinik Catur ini yang merupakan salah satu program KECAS UTM dirancangkan diadakan pada 9.00 – 12.00 tengahari, setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan. Setakat ini ianya adalah secara percuma, tiada sebarang bayaran dikenakan dan dibuka kepada semua pencatur yang berminat.